Isteri marah, suami perlu bijak bawa diri, bila suami mengamuk, isteri perlu diam

ISLAM menuntut hambanya berkahwin. Begitu juga Rasulullah pernah bersabda, “Kahwin itu sebenarnya termasuk sunahku. Barang siapa membenci sunahku maka dia tidak termasuk dalam golonganku”.

Justeru daripada pengertian hadis ini, setiap umat apabila tiba masa dan jodoh serta kemampuan, harus memikul tanggungjawab ini.

Bagaimanapun kini, semakin tua usia dunia, kes perceraian di kalangan pasangan tidak mengira usia semakin berleluasa.

Di kota, hubungan sulit menjadi punca kepada keretakan dan keruntuhan rumahtangga yang sekian lama dibina.

Menurut Peguam Syarie dan Perunding Keluarga Islam, Suriany Awaluddin, gejala itu berlaku kerana kecenderungan individu ke arah maksiat.

“Kita menjadi semakin alpa dengan hakikat perkahwinan. Ikatan cinta dan kasih sayang antara suami isteri adalah untuk melahirkan satu keturunan yang dianjurkan al-Quran dan sunah”.

“Perkahwinan sepatutnya menjadi benteng kepada kita untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak baik sehingga membawa kepada maksiat dan zina”, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas fenomena hubungan sulit yang menjadi faktor utama kepada kes perceraian yang berlaku di Wilayah Persekutuan dan Selangor sejak kebelakangan ini.

Menurut Suriany lagi, realiti hari ini jauh berbeza daripada masyarakat dahulu kerana persoalan sosial masa kini semakin kritikal.

“Ramai yang terdorong ke arah maksiat dan zina sedangkan perkara ini dilarang agama”.

“Untuk mengatasi semua ini, iman perlu ada dalam diri masing-masing kerana ia menjamin kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga”, tegasnya.

Dengan adanya iman, kata Suriany, bakal melahirkan anak-anak yang soleh dan sepatutnya iman bertambah sempurna selepas berkahwin.

Jika tiada iman, kata Suriany, pelbagai perkara boleh berlaku dan sesetengah perkara itu tidak terduga.

“Daripada situ, boleh berlaku suami keluar ikut pintu depan, isteri ikut pintu belakang”, katanya.

Sementara itu, Suriany berkata, pasangan boleh mengamalkan beberapa petua di bawah untuk memastikan kebahagiaan rumahtangga.

  1. Jika mengimpikan rumahtangga bagai syurga, Isteri jangan meminta-minta, terima kemampuan suami seadanya. Begitulah juga sebaliknya.
  2. Upah paling besar diterima suami apabila isteri menyambut dengan senyuman sewaktu suami pulang dari tempat kerja dan keletihan.
  3. Bina tiang rumahtangga dengan agama, pasakkan ia dengan cinta dan hati dan jangan sekali-kali meletakkan wang atau kemewahan sebagai keutamaan.
  4. Isteri sihat, suami bertenaga dan saling cerdas fikiran merupakan kekayaan terbesar dalam rumahtangga.
  5. Apabila isteri sedang marah, suami perlu bijak bawa diri dan apabila suami mengamuk, isteri perlu diam. Pun begitu, apabila sejuk, isteri dan suami harus mengambil pendekatan musyawarah bersama.
  6. Isteri harus jadi kekasih bagi suami muda, teman akrab bagi separuh baya dan perawat bagi suami berusia.
  7. Jangan sekali-kali memburuk-burukkan pasangan kerana tindakan itu tidak ubah sama seperti mendedahkan aib sendiri.
  8. Suami kekalkan perasaan cinta dan romantik sementara isteri pula, perlu berusaha mengekalkan rasa malu dan hormat pada suami. Hasilnya, cinta sentiasa hangat sepanjang hayat.
  9. Selagi termampu, layanan di meja makan dan urusan memasak, usah diserah kepada pembantu atau membeli lauk di kedai. Masakan air tangan isteri lebih berkat dan menyuburkan kasih sayang.
  10. Akhir sekali, cintai anak-anak dan mereka akan memulangkan kasih sayang yang lebih berganda untuk kesuburan cinta suami isteri.

 

Sumber: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *